Monday 6 May 2013

Resepi Chicken Chop Mudah Black Pepper Sauce

 

RESEPI CHICKEN CHOP MUDAH BLACK PEPPER SAUCE

Pengenalan

Resepi Chicken Chop Mudah Black Pepper Sauce adalah antara masakan barat yang sangat terkenal di seluruh perosok dunia. Makanan barat ini semakin diminati dan digemari oleh rakyat Malaysia. Keistimewaan makanan ini terletak pada sos yang diadun dengan teliti iaitu kombinasi barat dan ketimuran di mana ia sesuai dengan citarasa tempatan. Resepi Chicken Chop selalu dimakan bersama kentang goreng, potongan sayur-sayuran iaitu kubis, bawang, lobak merah bercampur mayonis (coleslaw) dengan hiasan daun salad atau mashed potato.

Chicken Chop merupakan salah satu hidangan masakan barat yang sememangnya digemari oleh semua lapisan masyarakat. Resepi Chicken Chop mudah ini mempunyai beberapa jenis versi yang telah di ubahsuai mengikut citarasa tempatan di Malaysia. Dari segi cara masakan, ianya dimasak dengan pelbagai jenis sos yang berbeza-beza untuk menambahkan keenakannya.

Selain daripada itu, Chicken Chop mempunyai banyak perubahan dan selalu makan dengan sup cendawan dan roti bawang putih sebagai bahan sampingan kecuali dimakan dengan kentang goreng, salad, coleslaw dan lain-lain sahaja. Ini adalah kebudayaan makanan barat yang istimewa dan ditambahkan dengan sos seperti sos lada hitam, sos cendawan dan sebagainya. Kadangkala dihiaskan dengan tomato dan timun dengan daun salad.



Resepi Chicken Chop Mudah Black Pepper Sauce
Bahan-Bahan untuk Resepi Chicken Chop


 3 bahagian paha/ dada ayam (650gm+-/potongan besar) buang tulang
3 ulas bawang putih (Dikisar halus)
6 inci halia (Dikisar halus)
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar saus manis ABC
1 sudu kecil serbuk lada sulah/ lada putih
Garam secukup rasa

Salutan


1 biji telur (Dikacau)
2 sudu besar tepung gandum
100gm bread crumbs



Jenis Sos Utama untuk Resepi Chicken Chop
(Ikut kegemaran masing-masing)


Sos Lada Hitam
Sos Cendawan
Sos Brown
Sos Sald (Sos Tartar atau Sos Thousand Island)
Sos Bawang Putih



Bahan-Bahan Sampingan

Kentang goreng
Coleslaw
Daun salad/ salad
Mashed potato
Sup cendawan
Roti bawang putih
Tomato
Timun


Cara-Cara untuk Menyediakan Chicken Chop

1) Bersihkan ayam dan gaulkan ayam bersama dengan bahan-bahan kisaran, sos tiram, saus manis, serbuk lada sulah dan garam.
2) Masukkan dalam tupperware dan perapkan selama 3 jam dalam peti ais.
3) Cucukkan ayam dengan garfu supaya bahan perapan dapat diserap dengan lebih baik.
4) Setelah cukup masa memerap, gaulkan pula dengan tepung gandum.
5) Pecahkan telur dalam mangkuk dan kacau dengan rata dan sebati.
6) Ambil ayam dan celupkan dalam telur kemudian salut dengan bread crumbs. Buat satu persatu.
7) Goreng dengan api sederhana besar agar ayam masak sekata.
Tips : Celup potongan ayam dengan memegang dua bahagian jika ia besar. Ini adalah supaya potongan itu ‘leper’ dan dapat menyalut seluruh ayam. Kemudian salut dengan serbuk roti yang diletakkan di atas pinggan leper. Pastikan setiap bahagian bersalut dengan serbuk roti itu. Beberapa keping boleh disediakan sebelum mula menggoreng.


Bahan-Bahan Sos Lada Hitam (Black Pepper Sauce)
2 sudu butter/ mentega
1 1/2 sudu tepung gandum
Sebiji bawang besar (Dipotong dadu)
Sebiji tomato (Dipotong dadu)
Seketul kiub ayam knors
2 cawan air
Sedikit kicap pekat
Sedikit sos cili/ sos tomato
Garam dan gula secukup rasa
1 sudu lada hitam (Ditumbuk halus)*boleh lebihkan amaun mengikut selera
Tepung jagung



Cara-Cara untuk Menyediakan Sos Lada Hitam (Black Pepper Sauce)

1) Mula-mula cairkan butter dengan api kecil.
2) Apabila butter sudah dicair, masukkan tepung gandum dan kacau sehingga perang.
3) Kemudian masukkan bawang dan kacau sehingga naik bau wangi.
4) Selepas itu, masukkan kiub ayam dan kacau dengan sebati.
5) Masukkan air tadi dan kacau. Tambahkan sos cili (amaun ikut suka nak pedas atau tidak). Kacau sehingga sebati.
6) Tambahkan kicap pekat sedikit demi sedikit dan jangan tambah sehingga berwarna hitam gelap, agak-agak secukupnya warna menjadi keperangan.
7) Masukkan tomato yang telah dipotong dadu tadi dan kacau dengan rata.
8) Tambahkan sedikit gula dan garam secukup rasa.
9) Masukkan lada hitam yang telah ditumbuk tadi sedikit demi sedikit. Kacau hingga menggelegak.
10) Jika sos kurang likat, masukkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan air sedikit demi sedikit sehingga agak-agak likat. Apabila sejuk sos akan lebih likat.
11) Tuangkan sos lada hitam ke atas ayam dan bolehlah dihidangkan.
Tips : Bahan paling penting semasa membuat sos adalah butter atau mentega. Jangan gunakan marjerin kerana ia tidak sesuai. Kacau mentega dan tepung sehingga hampir keemasan. Kemudian tuangkan air dan masukkan semua bahan lain. Jika menggoreng terlalu lama, campuran boleh menjadi hangus dan pahit. Jadi, langkah pertama itu sangat penting. Ia akan menentukan samada sos sedap atau sebaliknya.

Bahan-Bahan Sos Cendawan
1 bawang besar (Dihiris bulat)
50 gram cendawan butang
1/2 cawan chicken stock
2 sudu besar butter
Garam secukup rasa
Lada hitam
1 sudu kecil tepung jagung
Sedikit sos lada hitam

Cara-Cara untuk Menyediakan Sos Cendawan
1) Terlebih dahulu, panaskan butter dan masukkan bawang besar sehingga lembut.
2) Kemudian, masukkan cendawan dan kacau sekali lagi untuk beberapa minit.
3) Masukkan chicken stock diikuti dengan tepung jagung.
4) Seterusnya masak sehingga kuahnya pekat dan taburkan garam dan serbuk lada hitam.
5) Masukkan sedikit sos lada hitam megikut suka hati.
6) Tuangkan sos cendawan ke atas ayam dan bolehlah dihidangkan.

Tips : Ramai orang keliru tentang air rebusan ayam atau chicken stock. Air rebusan yang asli atau tulin diperbuat dengan merebus salderi, bawang, lobak merah, biji lada sulah dan rangka ayam selama beberapa jam. Kemudian biarkan semalaman. Buangkan lemak yang mengeras di permukaan. Masak sehingga mendidih semula sebelum ditapiskan.

Di Malaysia, pelbagai cara masakan yang berbeza-beza telah digunakan untuk menghidangkan Chicken Chop di kalangan pelbagai kaum etnik. Berbagai-bagai cara masakan makanan barat Chicken Chop telah menjadikan hidangan ini sentiasa berubah mengikut citarasa penggemar hidangan makanan barat ini.


Bahagian ayam yang sesuai untuk Chicken Chop ialah paha dan pangkalnya. Tulang bahagian ini perlu dikeluarkan tetapi hujungnya (anggaran 2 cm) hendaklah dibiarkan begitu sahaja. Ini bermakna, tulang yang selebihnya mesti dipotong dengan teliti. Kulit ayam juga perlu dibuang supaya bahan salut boleh melekat dengan sempurna. Tambuhan pula, kulit ayam mengandungi lemak yang tidak baik untuk kesihatan. Potongan Chicken Chop ada juga yang dijual sudah dibuangkan tulangnya.